Segala-galanya sudah diputuskan . Hati sudah nekad dan niat sudah bulat . Biar apa pun yang terjadi , pergi tetap pergi. Berpantang maut sebelum ajal. Gendang peerang sudah pun dipalu . Rasulullah SAW sedang bersiap diri untuk menyahut bunyi paluan itu . Gemanya beralun memenuhi ruang angkasa . Kemudian menjauh dan terus menjauh dibawa terbang dek deru angin padang pasir hingga ke lereng-lereng perbukitan di dataran Uhud. Di sanalah medan tempurnya. Rasulullah SAW melemparkan pandangan ke arah sekumpulan sahabat yang sedang menunggu Baginda. Daripada warna wajah mereka , secalit pun tidak terlukis bayang-bayang takut atau cemas . Tiada apa yang perlu ditakutkan kirannya bunyi semboyan perang itu adalah suara-suara lambaian sang bidadari di taman Syurga.
"Salam ke atas engkau , wahai Nabi Allah ," ucap satu suara tiba-tiba. Rasulullah SAW lantas berpaling . Air muka baginda sedikit bertukar , seketika. " Untuk apa engkau ke mari , wahai Amar bin Tsabit ? " Rasulullah SAW mengaju pertanyaan. " Wahai nabi Allah, aku meminta belas ihsanmu . Islamkan aku, " kata Amar sungguh-sungguh . Tuntutan itu mengejutkan Rasulullah SAW . Namun baginda menyambut dengan senyum kesyukuran. Apabila Allah SWT melimpahkan taufik dan petunjuk-Nya ke dalam hati seseorang hamba-Nya, mudah sahajaa berlaku perubahan meskipun mendadak dan tidak pernah terduga oleh sesiapa. Amar bin Tsabit terkenal sebagai seorang yang angkuh . Berasal dari Bani Asyhali. Ketika kaumnya berbondong-bondong masuk Islam , Amar menjauhkan diri . Walhal , Saad bin Muaz, tokoh terkemuka Bani Asyhali juga menerima seruan Rasulullah SAW. Medan Uhud menyaksikan kehebatan Amar bin Tsabit berperang sebagai pahlawan yang baru dianugerahi bintang ke-Islaman. Penganugerahan yang dibuat pada saat-saat yang agak genting, sebentar sahaja sebelum berangkat ke medan perang ternyata mendatangkan keuntungan kepada tentera Muslimin.
Namun begitu , Amar bin Tsabit r.a tidak sempat meyaksikan babak - babak akhir peperangan . Maut terlebih dahulu datang menjemputnya . Amar gugur sebagai seorang syahid . Apabila berita kematian Amar disampaikan kepada Rasulullah SAW, Baginda menjawab " Amar akan berada di syurga." Iman yang baru sahaja bertunas di dalam jiwa Amar telah menjadikan laluannya menuju Allah SWT sangat selesa, aman dan tenteram . Demikianlah kesan dakwah Rasulullah SAW , seorang yang baru sahaja beriman tidak teragak-agak menyerahkan diri sepenuhnya kepada perjuangan Islam. Kisah Amar bin Tsabit ini sungguh menarik dijadikan iktibar, mendorong Abu Hurairah r.a melontarkan soalan mengenainya kepada sekumpulan kaum Muslimin . " Cuba kamu katakan kepadaku , siapakah yang masuk syurga sedangkan dia tidak pernah solat kepada Allah walaupun sekali ?" " Jika kamu tidak menjawab , aku akan beritahu , " kata Abu Hurairah lagi apabila pertanyaannya tidak disambut . " Dia ialah Amar bin Tsabit bin Waqsy. "








0 comments:
Post a Comment